10 Faktor Kemenangan BN di Ijok

Walaupun parti-parti politik yang bertanding mengatakan mereka akan menang, namun adalah sukar untuk membuat ramalan keputusan dalam mana-mana pilihanraya kecil sehinggalah pada beberapa hari terakhir menjelang pengundian. Itulah juga yang dapat dikatakan mengenai peluang Barisan Nasional dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding dalam pilihan kecil N11 DUN Ijok, Selangor.

Pada 28 April ini, 12,272 orang pengundi berdaftar pelbagai bangsa akan berpeluang untuk membuat pilihan. Merekalah yang menjadi penentunya. Adakah mereka akan memilih aktivis sosial dan seorang bekas pendidik muda berusia 38 tahun, ataupun seorang pencen berusia 61 tahun yang bergantung kepada rekodnya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif sebuah organisasi yang ditubuhkan bagi membantu orang Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB)?

Sebagai sebuah parti yang memegang kerusi ini sebelum kematian Dato' K Sivalingam, Barisan Nasional ingin terus mengekalkan pegangan kerusi tersebut. Kejayaan parti ini akan bergantung kepada beberapa faktor, termasuklah:

Pertama, mengekalkan perpaduan dalaman parti. Perpecahan seringkali merupakan faktor yang menyumbang kepada kekalahan sesebuah parti politik. Setakat ini, Barisan Nasional telah dapat mengatasi perkara ini dengan cukup baik. Pada mulanya P. Thirumoorthy, Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor dikatakan merajuk kerana tidak terpilih sebagai calon. Bagaimanapun, dia kini kembali bersama-sama dengan Barisan Nasional bagi menentukan kemenangan K. Parthiban. Walaupun ada beberapa pihak yang kurang senang dengan Dato' Seri S Samy Vellu, ternyata beliau adalah seorang pemimpin India yang dapat menyatukan komuniti tersebut.

Kedua, mengelakkan serangan peribadi. Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah melakukan kesilapan besar apabila dia menyerang Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abd Razak dengan cuba mengaitkannya dengan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Najib sebaliknya tidak menyerang balik dan mengingatkan Anwar bahawa dia juga mempunyai anak dan isteri. Sekiranya Anwar memikirkan akan dapat meraih undi Melayu dengan membuat serangan tersebut, ternyata dia silap. Orang Melayu yang terkenal dengan budi bahasa sukar menerima pendekatan kempen yang sedemikian. Tidak mustahil PKR akan kehilangan undi disebabkan sikap agresif serangan itu. Pun begitu, adalah tidak mustahil juga sekiranya PKR terus menyerang peribadi-peribadi lain bertujuan mengelirukan pengundi di Ijok. Pendekatan "hit and run" secara berterusan boleh mengelirukan pengundi dan menarik mereka mengundi pembangkang.

Ketiga, meyakinkan pengundi Melayu bahawa Barisan Nasional akan mengambil berat hal-ehwal dan kebajikan mereka. Sebahagian pengundi Melayu melahirkan kebimbangan ini dan Barisan Nasional menjelaskan bahawa pengerusi Barisan Nasional negeri dan pusat adalah orang Melayu walaupun calon di Ijok adalah wakil MIC. Ini adalah satu penjelasan yang rasional dan boleh difahami dengan mudah.

Keempat, mengelakkan perangkap provokasi pembangkang. Sebagai sebuah parti pemerintah, Barisan Nasional perlu cukup berhati-hati dengan provokasi pembangkang. Ini penting kerana Barisan Nasional tidak seharusnya dilihat melatah dan hilang kawalan. Pembangkang akan terus membuatkan Barisan Nasional marah dengan membangkitkan isu-isu tertentu; hatta isu serangan peribadi. Kemampuan Barisan Nasional untuk menangani isu-isu ini dengan penuh berhemah akan membantu kemenangan mereka.

Kelima, kemampuan Barisan Nasional untuk menjelaskan isu-isu rakyat. Sudah menjadi lumrah politik, pengundi akan menggunakan kesempatan pilihanraya kecil untuk membangkitkan masalah pembangunan yang tertunggak. Ini tidak sewajarnya dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Sebagai parti pemerintah, Barisan Nasional harus menyelesaikannya dengan baik. Usaha-usaha Barisan Nasional di Ijok telah memberikan manfaat kepada penduduk setempat. Ini akan membantu parti itu mengekalkan kerusi tersebut.

Keenam, rasa curiga rakyat dengan pakatan PKR, PAS dan DAP. Sebuah laman web mengadakan satira dan menganggap pakatan itu sama seperti lagu "Madu Tiga" yang dinyanyikan oleh Allahyarham P. Ramlee. PAS dan DAP umpama isteri yang bermadu. Mereka saling bergaduh, tetapi "lembut" dengan pujukan PKR. Kedua-dua parti itu tidak boleh duduk sebumbung, tetapi boleh bersama-sama mengiringi "suami" mereka ke pusat penamaan calon. Selama mana PKR, PAS dan DAP gagal untuk menjelaskan pakatan mereka, selama itulah isu ini akan terus menghantui gagasan pembangkang. Dalam konteks politik di Malaysia, rakyat masih belum bersedia untuk menerima "marriage of convenience" atau "kahwin muta'ah."

Ketujuh, faktor Anwar. Ini boleh menjadi positif atau negatif. Kegagalan Anwar untuk mengiringi Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu penamaan calon menimbulkan banyak tanda tanya. Ada yang membuat telahan bahawa Anwar masih belum sedia untuk bersemuka dengan sahabat-sahabat lamanya dalam UMNO atas alasan yang diketahuinya sendiri. Malah, beberapa orang penyokong PAS yang bersedia untuk berkempen untuk PKR mula melahirkan kecurigaan dengan niat sebenar Anwar tidak hadir pada hari penamaan calon itu.

Kelapan, kelemahan jentera pilihanraya PKR. Berbanding PAS atau DAP, jentera pilihanraya PKR cukup lemah. Ia tidak mempunyai cawangan dan ahli yang banyak. Untuk sekian lama, PKR tidak mempunyai cawangan dan keahlian yang mencukupi di Ijok untuk memberikan saingan kepada Barisan Nasional. PKR terpaksa bersandar kepada "nama" Khalid yang cuba digambarkan sebagai "tokoh korporat Melayu."

Kesembilan, kesungguhan PAS dan DAP untuk membantu. Kedua-dua parti itu telah menyatakan kesediaan untuk membantu PKR. Cuma, sejauh manakah kesungguhan kedua-dua parti itu untuk turun ke padang? Sewaktu pilihanraya kecil di Machap dulu, Anwar hanya turun pada beberapa hari terakhir menjelang pengundian. DAP ternyata kurang senang dengan cara PKR dan ia dijangka menjadi pertimbangan parti itu dalam membantu PKR di Ijok. Sekiranya DAP turun padang, ia lebih bertujuan menjamin political survival parti itu daripada untuk memenangkan PKR.

Kesepuluh, kekuatan jentera pilihanraya Barisan Nasional. Kekuatan ini diperlihatkan sewaktu hari penamaan calon baru-baru ini. Bilangan penyokong Barisan Nasional yang hadir lebih lima kali ganda bilangan penyokong PKR. Penyokong PAS dan DAP tidak kelihatan secara jelas walaupun beberapa orang pemimpin kedua-dua parti itu hadir pada hari penamaan calon. Bilangan penyokong Barisan Nasional yang besar ini diterjemahkan sebagai jentera parti yang akan berkempen dan cuba mencapai kesemua 12,272 orang pengundi berdaftar di Ijok.

Inilah antara faktor-faktor yang dijangka menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional pada 28 April nanti. Sekiranya ini berlaku, maka sudah sampai masanya untuk parti-parti pembangkang kembali melihat agenda kerjasama antara mereka kerana tentunya pilihanraya umum akan diadakan dalam jangka masa terdekat. Kemenangan lima pilihanraya kecil iaitu Kuala Berang, Pengkalan Pasir, Batu Talam, Machap dan Ijok memberikan petanda kepada Perdana Menteri bahawa masanya sudah sampai untuk mengadakan pilihanraya umum.

Ketika itu, tentulah tidak sukar untuk membuat ramalan mengenai parti manakah yang akan membentuk kerajaan. Petunjuknya adalah pasti.

analisis

Popular posts from this blog

Kuih Melayu tradisional tidak menggunakan tepung gandum

Kedai Todi Kerajaan