Pertarungan Sengit Antara BN Dan PKR Di DUN Ijok

KUALA SELANGOR, 27 April -- Walaupun hanya beberapa jam saja lagi akan berlangsung proses mengundi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok, hakikatnya hingga saat ini belum ada tanda-tanda jelas apakah calon Barisan Nasional atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan meraih kemenangan.

Masing-masing mendabik dada dan yakin mampu untuk memenangi hati pengundi dan akhirnya akan muncul sebagai parti paling layak untuk memimpin rakyat di kawasan itu apabila keputusan pengundian diumumkan malam esok.

Menurut perkiraan atas kertas, BN mempunyai kelebihan untuk memenanginya sekali lagi sama seperti pada empat pilihan raya kecil lain -- di Kuala Berang (Terengganu), Pengkalan Pasir (Kelantan), Batu Talam (Pahang) dan terakhir kira-kira dua minggu lepas di Machap, Melaka, diadakan selepas pilihan raya umum 2004.

Tetapi ini lain jadinya berikutan PKR dengan bantuan tidak langsung daripada parti pembangkang PAS dan DAP mencetuskan pertarungan paling sengit dan panas dalam mana-mana sejarah pilihan raya kecil.

Semuanya kerana ini mungkin pilihan raya kecil yang terakhir, sebelum berlangsung pilihan raya umum akan datang.

Bagi memastikan survivalnya pada masa depan, PKR yang bersandarkan slogan "Perubahan bermula di Ijok" menjalankan kempen ibarat misi "hidup atau mati" dalam tempoh sembilan hari bergerak di DUN Ijok apabila secara terancang melontar segala isu-isu nasional yang dirasakan mampu untuk mempengaruhi hati pengundi di kubu BN itu.

Menggunakan setiap kesempatan berkempen tidak kira ceramah kecil atau besar, bermula dengan kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu, rasuah dan komisyen pembelian senjata bagi pertahanan negara, penyalahgunaan kuasa yang kesemua fitnah itu dikaitkan dengan pemimpin negara hinggalah kepada kempen berbau perkauman, agama, menanam bibit benci, pengundi hantu dan menakut-nakutkan pengundi, seperti yang pernah diamalkan pada pilihan raya kecil di DUN Lunas pada 2000.

PKR yang diketuai oleh penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kempen kali ini, berasakan Ijok mempunyai persamaan dengan DUN Lunas, apabila mampu merampasnya daripada BN ketika itu dengan menggunakan senjata sama iaitu membangkitkan rasa tidak puas hati pengundi Melayu di Ijok yang mewakili kira-kira 51 peratus daripada keseluruhan 12,272 pengundi.

BN seperti di Lunas, mencalonkan seorang calon bukan Melayu di Ijok, K.Parthiban, Setiausaha MIC kawasan Tanjung Karang untuk bertanding di kawasan majoriti orang Melayu manakala PKR pula mencalonkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, seorang tokoh korporat yang didakwa telah banyak berjasa kepada orang Melayu ketika menerajui Permodalan Nasional Berhad.

Walaupun menghadapi kecaman BN kerana amalan taktik kotor ini termasuk teguran daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semua tindakan ini tetap dibuat kerana matlamat tunggal untuk menang.

"Tiada lain kecuali menang kerana inilah satu-satunya cara untuk meningkatkan moral dan semangat kita (PKR) jika ingin meneruskan perjuangan sehingga ke pilihan raya umum akan datang," kata Abdul Khalid dalam satu pertemuan dengan penyokong parti itu.

BN juga terasa perit pada setiap masa kerana tekanan yang dikenakan oleh PKR itu sebenarnya amat dirasai oleh BN terutamanya Umno yang turut menghadapi dilema untuk menjelaskan kewajaran meletakkan calon bukan Melayu.

Diketahui umum, kalangan orang Melayu inginkan seorang calon Melayu kali ini, kerana sejak 1990, kesemua calon BN terdiri wakil MIC termasuk penyandang sebelum ini Datuk K. Sivalingam yang dikatakan gagal memahami perasaan dan aspirasi Melayu di Ijok yang banyak berketurunan Jawa.

Umno khususnya menyedari sebarang "pemberontakan" orang Melayu menerusi undi protes terhadap kerusi tradisi MIC itu mampu menjejaskan usaha BN mengekalkan penguasaan di kawasan itu dan sekaligus memberi kesan buruk kepada parti pemerintah.

BN tidak mampu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang seandainya berlaku peristiwa "kekalahan di DUN Ijok" dan seperti juga misi PKR, BN juga tiada pilihan lain kecuali menang.

Berikutan itu sejak hari penamaan calon pada 19 April, pemimpin Umno diketuai oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibantu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo banyak berkampung di tiga kawasan "hitam" Melayu iaitu Kampung Ijok, Jaya Setia dan Bukit Badong yang diketahui kebanyakan penduduk bersimpati dengan pembangkang berdasarkan keputusan pilihan raya 2004, untuk memberi penjelasan dan mengembalikan kepercayaan kepada Umno.

Tugas Umno itu tidak mudah kerana selain serangan dari luar, Umno juga turut menghadapi serangan dari dalam hingga menimbulkan rasa resah sepanjang masa di kalangan jentera Umno di Ijok.

Bagaimanapun kemunculan secara "tiba- tiba" Perdana Menteri semalam yang meluangkan masa selama dua jam menemui pengundi daripada pelbagai peringkat dan kaum, telah "mencurah air di hati panas" orang Melayu apabila mereka diminta bersikap rasional dan menerima konsep perkongsian kuasa antara kaum.

Abdullah berkata pendekatan itu yang digunakan sejak merdeka jelas menjadi fomula BN selama ini hingga telah memberikan kemenangan kepada semua kaum di negara ini tanpa mengira Melayu, India dan Cina sejak pilihan raya pertama lagi, hingga wujud keharmonian dan persefahaman masyarakat majmuk.

"Tidak ada masalah daripada sokongan, tidak ada siapa yang pertikai kerana tradisi BN berkongsi kuasa," kata Perdana Menteri sambil mendapat teriakan sokongan daripada ribuan hadirin.

Kata-kata Abdullah itu sebenarnya ada kebenaran kerana Ijok hanyalah antara tiga kerusi MIC atau lima peratus berbanding keseluruhan 56 kerusi DUN di Selangor yang dimonopoli Umno.

Najib yang "berkampung" di Ijok sejak hari pertama kempen menyedari perubahan positif pengundi Melayu hasil lawatan Perdana Menteri.

Sambil menyifatkan lawatan itu sebagai satu suntikan semangat bagi semua, Najib melahirkan keyakinan kemenangan kini berpihak kepada BN.

"Lawatan Perdana Menteri sememangnya memberi semangat dan mengukuhkan keyakinan kita untuk menang. InsyaAllah kita akan menang lagi kali ini," katanya.

PKR bagaimanapun tidak menyerah kalah, dan kini menggunakan isu pengundi hantu sebagai senjata akhir, termasuk mengancam untuk menahan dan menghalang sebarang individu yang disyaki.

Seperti yang dikatakan oleh Ketua Penerangan PKR Tian Chua mereka tidak lagi mempercayai pihak berkuasa dan sebaliknya akan bertindak sendiri dengan menghalang dan menahan kenderaan yang disyaki dinaiki pengundi hantu BN seperti yang dibuat di DUN Lunas, hingga mencetuskan kekecohan besar.

Bagaimanapun ancaman itu bakal diawasi oleh 1,500 anggota polis esok, bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Apapun senario di Ijok, jawapannya ada di tangan 12,272 pengundi, terutama pengundi atas pagar, yang disifatkan Perdana Menteri sebagai pemegang kunci keputusan pilihan raya kecil itu.

Popular posts from this blog

Kuih Melayu tradisional tidak menggunakan tepung gandum

Kedai Todi Kerajaan