POKOK GELENGGANG – ubat kurap dan panau

Pokok gelenggang atau disebut juga sebagai daun senna merupakan pokok herba renek yang tumbuh liar di belukar atau hutan di Malaysia yang dikatakan berasal dari Amerika Tropik. 

Di kenali juga sebagai pokok kurap, belukar lilin atau nama Inggerisnya seperti candelabra bush, empress candle plant, ringworm tree atau candle tree dengan nama saintifik sebagai cassia alata atau C. senna dari famili Leguminosae banyak digunakan dalam perubatan tradisional sejak berzaman lagi. 

Pokok gelenggang boleh mencapai ketinggian 2 – 10 meter dengan daun berbentuk  seiras (bilateral) dan berlawanan secara simetri, akan kucup pada waktu malam. Bunga galenggang berwarna kuning atau oren dan dilitupi oleh penutup yang menyerupai lilin sebelum bunganya berkembang. Buahnya bersalut kulit seperti buah kekacang dan bijinya kecil berbentuk bulat.

Dalam perubatan Melayu, daun gelenggang merupakan tumbuhan ubatan yang mujarab untuk mengubati penyakit kulit seperti kurap dan panau.  Caranya dengan melumatkan daun galenggang tanpa air dan dicampur setitik minyak tanah dan lumurkan pada tempat yang terkena kurap. Lakukan beberapa kali hingga kurap hilang. Kesannya sedikit pedih. Selain dari itu ianya boleh dijadikan penawar kepada sengatan serangga dan eczema. 

Bahan kimia yang terdapat pada pod atau buah pokok galenggang termasuklah saponin yang bertindak sebagai julap dan mengeluarkan parasit usus. Di Afrika, daunnya direbus dan digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi. Manakala di Amerika Selatan, disamping penyakit kulit, ia juga digunakan untuk merawat pelbagai penyakit daripada masalah perut, demam, asma untuk gigitan ular dan penyakit kelamin (sifilis, gonorea).

Pokok galenggang juga dikatakan mampu mengubati masalah sembelit, satu sudu teh air rebusan daunnya boleh diambil sebagai julap. Akar gelenggang boleh digunakan untuk mengatasi masalah uterus (rahim). Air rebusan daunnya juga dijadikan ubat cacing, penawar sawan, resdung, bengkak saluran nafas, Di sesetengah negara Amerika Selatan, air rebusan akarnya dan akar alamanda digunakan untuk merawat penyakit malaria. 

Daun gelenggang segar juga dipetik dan dikeringkan. Setelah daun-daun gelenggang dikeringkan secara jemuran semulajadi, ia akan disalaikan di atas bara api, untuk menimbulkan rasa dan aroma, daun-daun yang telah disalai disimpan untuk diminum sebagai teh, yang dikenali sebagai teh Sulok bagi orang Sarawak.  Rasanya ringan dan baik sebagai minuman melawaskan kencing (diuretic), menurunkan kolestrol darah (blood cholesterol) dan membersihkan perut. 

Asas perubatan herba dalam tumbuhan ini terletak pada daunnya, walaupun akar dan bunganya juga digunakan dalam persiapan nilai perubatan tertentu. Ekstrak dari pokok galenggang biasanya digunakan sebagai ramuan untuk losyen, sabun dan syampu. 

Masyarakat sekarang kurang mengambil tahu akan khasiat pokok-pokok herba yang terdapat di sekeliling kita, apatah lagi golongan muda yang lebih cenderong kepada produk berjenama yang berasaskan bahan kimia. Seharusnya penggunaaan produk berasaskan herba diberi keutamaan dalam kehidupan kerana ianya menjurus kepada penggunaan bahan sumber alam semula jadi yang pernah digunakan oleh nenek moyang kita sejak berzaman dahulu.

Popular posts from this blog

Kuih Melayu tradisional tidak menggunakan tepung gandum

Kedai Todi Kerajaan