RAFIDAH TOLAK SYOR SHAHRIZAT - MUNGKIN BERTANDING?

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berubah fikiran dalam soal peralihan kuasa dan saingan merebut kerusi Ketua Wanita?

Selepas mesyuarat Exco Wanita di sini hari ini, Shahrizat berkata, cadangannya supaya pelan peralihan kuasa daripada Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz kepada beliau dipercepatkan kepada Mac depan ditolak oleh mesyuarat pergerakan itu hari ini.

"Cadangan mempercepatkan pelan peralihan kepada Mac semasa Perhimpunan Agung Umno tidak diterima (Tan Sri) Rafidah dan exco, tetapi pelan peralihan seperti yang dirancang pada Jun tahun depan dikekalkan," katanya.

Pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco Wanita, yang dipengerusikan Rafidah, Shahrizat menjawab empat soalan wartawan.

Kepada Bernama selepas sidang akhbar itu, beliau berkata, keputusan exco ialah untuk menerima saranan Rafidah seperti asal di samping menentukan tiada pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua pergerakan itu.

Shahrizat berkata pada masa yang sama, akan ada rundingan secara damai untuk menyelesaikan isu pengisian jawatan dan usaha untuk berunding bersama Datuk Kamilia Ibrahim, exco Wanita Umno yang turut layak bersama beliau untuk bertanding jawatan Naib Ketua.

Ditanya langkah beliau seterusnya ekoran penolakan usahanya agar pelan peralihan kuasa dipercepatkan selaras dengan pelan peralihan Umno induk, beliau berkata:

"Saya juga akan mengambil kira suara daripada akar umbi dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk Wanita Umno." "Untuk pelan peralihan ini berjaya, kita perlu ada kerjasama Kamilia, kalau tidak, akan ada pertandingan nanti untuk jawatan Naib Ketua".

Shahrizat berkata, beliau akan berusaha menyelesaikan isu itu secara damai berlandaskan kepada pendirian Rafidah, exco Wanita Umno serta amanah yang diberikan oleh akar umbi.

Kamilia yang juga Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar, sebelum ini berkata, beliau mahu pelan peralihan itu dipercepatkan bagi mengukuhkan kepimpinan pusat pergerakan itu.Beliau berkata jika tempoh peralihan itu dilaksanakan mengikut perancangan asal, ia akan merugikan pergerakan itu kerana ia akan memberi kekosongan kepada jawatan Ketua Wanita dan melemahkan kepimpinan parti.

Shahrizat, yang turut layak bersama Rafidah bertanding jawatan Ketua Wanita pada pemilihan parti akan datang, bagaimana pun enggan menyatakan sama ada beliau akan membuat keputusan ke arah itu dalam masa terdekat seperti yang digesa oleh akar umbi.

Popular posts from this blog

Kuih Melayu tradisional tidak menggunakan tepung gandum

Sah betik yang aku tanam betik betina. Ada 3 cara mengenali betik jantan dan betina selepas menyemai dan berbunga.