BN kekalkan kerusi DUN Machap

ALOR GAJAH 12 April — Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dengan majoriti 4,081 undi dalam pertandingan satu lawan satu antara calonnya, Lai Meng Chong dengan calon DAP, Liou Chen Kuang hari ini.

Kemenangan BN diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Hasim Ismail di pusat penjumlahan undi di Kompleks Japerun Machap, Bukit Bulat di sini pada pukul 8.22 malam ini.
Lai, 56, seorang anak tempatan memperoleh 5,533 undi, manakala Liou, 33, yang kali kedua dipertaruhkan oleh DAP untuk kerusi yang sama, memperoleh 1,452 undi.

Sebanyak 74.35 peratus daripada 9,623 pemilih berdaftar di kawasan DUN itu keluar mengundi mulai pukul 8 pagi ini hingga pukul 5 petang ini di lapan pusat mengundi yang menyediakan 19 saluran mengundi.

Pilihan raya kecil DUN Machap diadakan berikutan kematian Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengangkutan Negeri, Datuk Wira Poh Ah Tiam pada 15 Mac lepas.

Pada pilihan raya umum 2004, Poh menewaskan Liou dengan majoriti 4,562 undi. Poh memperoleh 5,487 undi manakala Liou mendapat 1,285 undi.

Pemilih berdaftar di DUN Machap terdiri daripada kira-kira 45.9 peratus kaum Cina, 39.83 peratus Melayu dan 14.09 peratus India.

Daripada jumlah pemilih itu, 9,515 adalah pemilih awam, manakala 108 lagi adalah pemilih pos.
Kawasan Machap Baru mempunyai pengundi paling ramai iaitu sebanyak 2,161 orang, diikuti Machap Umbor sebanyak 1,647, Tebong (1,738), Melaka Pindah (1,388), Felda Tun Ghafar Hutan Percha (1,159), Solok Menggong (613), Ayer Pasir (459) dan Kemuning (458).

Kawasan DUN Machap yang terletak kira-kira 10 km. dari sini, merangkumi seluas 161.2 km. persegi, satu daripada lima DUN dalam Parlimen Alor Gajah selain Rembia, Gadek, Durian Tunggal dan Asahan.

Popular posts from this blog

Kuih Melayu tradisional tidak menggunakan tepung gandum

Kedai Todi Kerajaan