Penamaan Calon P.raya Kecil Ijok 19 April, Mengundi 28 April


PUTRAJAYA, 11 April -- Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Ijok ialah pada 19 April dan jika ada pertandingan, pengundian pada 28 April.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengumumkan demikian di sini hari ini selepas SPR mengadakan mesyuarat khas mengenai pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN tersebut Datuk K.Sivalingam di Chennai, India, akibat serangan jantung pada 4 April lepas.

Sivalingam, 59, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perpaduan dan Pekerja Ladang Selangor, memenangi kerusi itu untuk penggal ketiga dalam pilihan raya umum lepas dengan menewaskan Abdul Rahman Moharam dari parti Keadilan dengan majoriti 1,649 undi.

Menurut Abdul Rashid bagi tujuan pilihan raya kecil itu, SPR menentukan bahawa daftar pemilih yang dikemaskinikan sehingga 4 Apr 2007 akan digunakan.

Mengikut daftar pemilih tersebut DUN N11 Ijok mengandungi 12,272 pemilih iaitu 12,233 pemilih awam dan 39 orang pemilih pos. Pengundi Melayu sebanyak 51.04 peratus, India 28.16 peratus dan Cina 20.59.

Katanya writ pilihan raya kecil itu dikeluarkan hari ini (11 Apr) manakala notis pula dikeluarkan esok (12 Apr).

Abdul Rashid berkata pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi adalah di Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai di Jalan Kuala Selangor.

Menurut beliau undi akan dikira di pusat pengundian. Terdapat sembilan pusat pengundian melibatkan 28 saluran dan dari jumlah itu lapan merupakan sekolah kerajaan dan sebuah sekolah agama.

Beliau juga mengumumkan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Haris Kasim sebagai Pegawai Pengurus bagi pilihan raya kecil itu dengan dibantu oleh dua orang penolong pegawai pengurus.

Katanya, seramai 169 orang kakitangan dikenalpasti untuk dilatih bagi menjalankan urusan pilihan raya kecil itu dengan peruntukan RM150,000.

Menurutnya jumlah itu melebihi peruntukan bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Melaka kawasan Machap kerana ia melibatkan jumlah pengundi serta kawasan yang lebih besar.

Abdul Rashid mengingatkan semua pihak terutama parti politik, calon, petugas parti dan individu yang terlibat dalam pilihan raya itu supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta prosedur pilihan raya dan tatasusila berkempen.

"Saya berharap tidak berlaku sebarang perkara yang boleh mengeruhkan keadaan dari awal sehingga akhir," katanya.

Katanya beliau telah membincangkan keadaan di Ijok dengan Haris dan menurutnya pengundian boleh dijalankan dengan lancar memandangkan Ijok mempunyai sistem rangkaian jalan raya yang baik.

Beliau juga berkata penggal Dewan Undangan Negeri Selangor dikira bermula 13 April 2004.

Popular posts from this blog

Kuih Melayu tradisional tidak menggunakan tepung gandum

Sah betik yang aku tanam betik betina. Ada 3 cara mengenali betik jantan dan betina selepas menyemai dan berbunga.