PRK N11 Ijok - Ketua MIC Kuala Selangor Ancam Untuk Letak Jawatan

KUALA SELANGOR, 15 April (Bernama) -- Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor S.P. Thirumoorthy hari ini mengancam untuk meletakkan jawatannya jika beliau tidak dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Ijok akhir bulan ini.

Thirumoorthy, 55, seorang guru sekolah menengah, mendakwa 18 ketua cawangan daripada 36 cawangan parti MIC di kawasan pilihan raya Ijok itu akan turut meletakkan jawatan bersamanya.

Beliau, yang menjadi ketua bahagian sejak 1994, berkata beliau difahamkan bahawa calon BN bukan dari kalangan ahli bahagian MIC Kuala Selangor.

BN dijangka mengumumkan calon esok.Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu ketika diminta mengulas tindakan Thirumoorthy itu, berkata beliau tidak akan melayan tuntutannya."Ia adalah hak Presiden MIC untuk memutuskan calon.

Pengerusi BN (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) telah meluluskan nama calon. Saya juga memaklumkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo," katanya pada sidang media di Batang Berjuntai dekat sini.

Thirumoorthy mendakwa semua usaha kerasnya berkempen untuk calon-calon MIC, kebanyakannya orang dari luar Ijok atau luar Kuala Selangor, sejak beberapa pilihan raya lepas tidak dihargai oleh pucuk pemimpin parti itu.

Susulan itu, Samy Vellu, berkata Thirumoorthy adalah antara mereka yang menyebabkan perpecahan di bahagiannya untuk sekian lama.

"Dia (Thirumoorthy) tidak pernah diterima sebagai ketua oleh semua orang. Pada pemilihan bahagian lepas, terdapat banyak aduan terhadapnya. Saya menyelamatkannya. Saya juga mempunyai 98 peratus sokongan daripada cawangan di sana," katanya.

Ditanya sama ada beliau menghargai sumbangan Thirumoorthy seperti yang didakwa, Samy Vellu berkata: " Mereka boleh pergi...Semua orang di Ijok akan tetap bersama kami. Bagaimanapun, saya hargainya kerana menikam parti dari belakang. Saya tidak akan menemuinya lagi, kami tidak suka pengkhianat."

Samy Vellu juga mendakwa bahawa Thirumoorthy adalah antara mereka yang cuba menikam parti dari belakang apabila menaja seorang calon bebas pada pilhan raya umum lepas pada 2004 bagi menentang mendiang Datuk K. Sivalingam.

Ditanya sama ada beliau akan menerima peletakan jawatan Thirumoorthy, Samy Vellu menjawab: "Saya tidak mahu sebarang peletakan jawatan... biar dia berambus.

"Samy Vellu berkata calon MIC yang akan diumumkan esok diterima baik bukan sahaja oleh pengundi kaum India tetapi juga pengundi lain kerana calon itu merupakan seorang anak muda tempatan, berpendidikan dan diterima di peringkat akar umbi.

Kerusi DUN Ijok kosong setelah Sivalingam meninggal dunia di Lapangan Terbang Chennai, India akibat serangan jantung pada 4 April lepas.Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 19 April dan jika ada pertandingan, pengundian pada 28 April.

Popular posts from this blog

Kuih Melayu tradisional tidak menggunakan tepung gandum

Sah betik yang aku tanam betik betina. Ada 3 cara mengenali betik jantan dan betina selepas menyemai dan berbunga.