Tazkirah Ramadhan - ZINA

DALAM peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW diperlihatkan keadaan lelaki dan perempuan yang diletakkan di hadapan mereka dua piring, satu berisi daging yang membangkitkan selera manakala satu lagi berisi daging busuk.

Lelaki dan perempuan itu lebih gemar terhadap daging busuk itu dan tidak langsung menyentuh daging yang membangkitkan selera.

Rasulullah diberitahu Jibril bahawa mereka tergolong di dalam kalangan mereka yang suka berzina.

Allah turut memperlihatkan kepada Nabi Muhammad bagaimana sekumpulan manusia yang digantung pada buah dada mereka dengan rantai api neraka dan dari faraj mereka, keluar nanah busuk, sehingga ada di kalangan ahli neraka itu sendiri tidak senang melihat keadaan mereka dan meminta dijauhkan.

Mereka itu, menurut Jibril, adalah kalangan yang tidak menjaga kehormatan.

Zina adalah perbuatan keji dalam ajaran Islam dan mereka yang melakukannya mendapat dosa besar.

Allah memberi amaran, bahawa balasan-Nya ke atas orang yang berzina tidak lain daripada neraka, yang Allah jadikan untuk menyeksa manusia yang ingkar terhadap larangan-Nya.

Firman Allah, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32).

Thabrani an Ibni Abbas meriwayatkan, Rasulullah bersabda bermaksud: “Jauhilah oleh kamu akan zina kerana kecelakaannya empat macam, iaitu hilang seri pada mukanya, disempitkan rezekinya, kemurkaan Allah atasnya, dan ia berkekalan dalam neraka.”

Rasulullah ketika mengikat janji setia dalam satu perjanjian bersama sahabat Baginda, sama ada lelaki atau perempuan, meminta supaya kalangan sahabat lelaki dan perempuan, tidak melakukan syirik, penipuan, mencuri dan berzina.

Sekarang ini mendapat isteri perlu berhati-hati kerana yang disunting mungkin sudah ternoda atau dinoda atau penoda. Tapi bila difikir kembali sama sahaja, baik lelaki baik wanita semuanya pernah merasa hubungan seks sebelum bernikah lalu buat apa berpura-pura wanita penzina bersama lelaki penzina bukankah keduanya sama sahaja ?

Firman Allah, yang bermaksud: “Penzina lelaki itu tidak bernikah melainkan dengan wanita penzina atau wanita musyrikah (kafir) dan wanita penzina itu tidak bernikah melainkan dengan lelaki penzina atau lelaki musyrik (kafir) dan yang demikian itu diharamkan kepada orang yang beriman” ( An-Nur : 3).

Sesungguhnya, Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Sebanyak manapun dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya, jika dia benar-benar insaf akan kesalahannya dan bertaubat nasuha kepada Allah, nescaya Allah akan menerima taubat hamba-Nya.

Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah, wahai hamba-Ku yangmelampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya, Allah mengampuni dosa semuanya. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah az-Zumar, ayat 53).

Melalui ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud: “Ibrahim berkata, tidak ada orang yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya, kecuali orang yang sesat.” (Surah al-Hijr, ayat 56).

Berpandukan firman Allah dan hadis di atas, mereka yang sudah terlanjur melakukan dosa besar itu, tidak harus berputus asa. Dia hendaklah segera bertaubat kepada Allah dan menyesali perbuatannya. Insya-Allah, dosanya akan diampunkan Allah.

Popular posts from this blog

Kuih Melayu tradisional tidak menggunakan tepung gandum

Kedai Todi Kerajaan