Suami digalak periksa payu dara isteri

IPOH 3 Dis. - Suami digalakkan memeriksa payu dara isteri untuk membantu mereka mengesan tanda-tanda kanser payu dara bagi membolehkan penyakit berbahaya itu dirawat lebih awal.

Timbalan Pengarah Kesihatan Perak, Dr. Ahmad Nordin Mohd. Jais berkata, memeriksa payu dara isteri oleh suami merupakan amalan baik dan patut diteruskan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, suami merupakan individu paling rapat dengan isteri pasti boleh mengesan sebarang perubahan fizikal pada tubuh pasangannya termasuk kelainan buah dada mereka.

‘‘Kalau suami benar-benar sayangkan isteri, dia sepatutnya membantu memeriksa buah dada isteri mereka untuk mengesan tanda-tanda kanser payu dara sebelum penyakit itu meragut nyawa.

‘‘Ini kerana suami lebih mudah melihat kelainan pada buah dada isteri berbanding jika isteri melakukan pemeriksaan sendiri di hadapan cermin,” katanya semasa berucap pada Forum Awam Kesedaran Kanser Payu Dara di Kompleks Rawatan Harian Hospital Ipoh di sini hari ini.

Forum tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perak, Datuk Siti Salmah Mat Jusak.

Ahmad Nordin berkata, bagi membolehkan suami mengetahui cara-cara pemeriksaan payu dara yang betul, mereka digalakkan menyertai atau menemani isteri menghadiri seminar tentang kanser payu dara yang kerap diadakan oleh pihak hospital.

Beliau berkata, seminar berkaitan kanser payu daya memang kurang menarik perhatian golongan lelaki kerana beranggapan mereka tidak berisiko mendapat penyakit tersebut.

“Walaupun kes lelaki menghidap kanser payu dara sedikit tetapi ia tidak boleh dipandang ringan memandangkan sudah ada laporan kematian melibatkan golongan lelaki disebabkan kanser payu dara,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, kajian kesihatan dan morbiditi ketiga Kementerian Kesihatan pada tahun lalu, mendapati hampir 70.35 peratus wanita berumur 18 tahun ke atas membuat pemeriksaan payu dara sama ada secara memeriksa sendiri, menjalani pemeriksaan di klinik atau mamogram.

Beliau bagaimanapun kesal kerana ketika ini, masyarakat masih lambat mendapatkan rawatan di hospital dengan memberi pelbagai alasan seperti ingin mencuba rawatan tradisional atau alternatif lain terlebih dahulu atau takut dengan rawatan moden kerana kurang memahami mengenai rawatan tersebut.

Katanya, mengikut daftar kanser yang ada di Malaysia, kanser payu dara merupakan kanser utama di kalangan wanita diikuti kanser pangkal rahim dan kedua-dua jenis kanser ini boleh dikesan awal dengan kaedah saringan yang mudah serta murah.

“Kanser payu dara boleh dikesan dengan melakukan pemeriksaan payu dara sendiri manakala kanser rahim melalui ujian ‘pap smear.’

“Didapati hampir 57 peratus wanita di Malaysia melakukan pemeriksaan payu dara sendiri tetapi hanya 7.57 peratus sahaja menjalani pemeriksaan mamogram,” katanya.

Popular posts from this blog

Sah betik yang aku tanam betik betina. Ada 3 cara mengenali betik jantan dan betina selepas menyemai dan berbunga.