MAHKAMAH BEBASKAN RAZAK BAGINDA



Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan penganalisa politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Manakala Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.

Pihak pendakwa dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak itu.

Razak diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong. Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar manakala Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.

Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh pula bertindak peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.

Pihak mendakwa selesai berhujah pada 23 Jun lalu selepas mahkamah mendengar keterangan daripada 84 saksi selam 151 hari.

Abdul Razak yang jelas kelihatan gembira dengan keputusan tersebut, meninggalkan mahkamah dengan ditemani isteri dan anak perempuannya pada kira-kira jam 10.10 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan yang menunggunya, dan hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah".

malaysiakini.com

Popular posts from this blog

Kuih Melayu tradisional tidak menggunakan tepung gandum

Kedai Todi Kerajaan