Tiga maut, enam cedera nahas tiga kenderaan di jalan Rasa - Bukit Beruntung
HULU SELANGOR: Tiga termasuk seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 9, Jalan Rasa menghala ke Bukit Beruntung, Kuala Kubu Bharu, dekat sini hari ini.
Mereka yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu ialah Napisah Abas, 52; Rofi'ih Modi, 55; dan seorang lagi mangsa yang belum diketahui identitinya.
Kesemua mangsa yang terbunuh adalah pemandu dan penumpang yang menaiki kereta Perodua Kancil.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden R. Supramaniam berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Audi Q7 yang datang dari arah Rasa menghala ke Bukit Beruntung cuba untuk memotong kenderaan di hadapan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.
Menurutnya, akibat pertembungan itu, kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa telah melambung ke atas kereta Toyota Corolla yang berada di belakang.
"Ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lelaki warga asing cedera parah dan lima lagi mangsa termasuk pemandu Audi Q7 hanya cedera ringan," katanya di sini hari ini.
Supramaniam memberitahu, pemandu Audi Q7 akan ditahan untuk siasatan dan ujian air kencing dilakukan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Berita awal
HULU SELANGOR: Tiga maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Rasa arah ke Bukit Beruntung di sini, petang tadi.
Bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 5.25 petang, menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bahru untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki.
"Enam yang cedera adalah dua lelaki dan empat wanita.
"Identiti mereka belum dapat dipastikan," katanya.