Adam letak sasaran lebih tinggi
Adam Norrodin mengakui masih belum puas dengan pencapaian meraih tempat ketujuh keseluruhan kategori Moto2 pada Kejuaraan CEV Repsol musim lalu.
Jelas pelumba yang beraksi bersama Liqui Moly Intact SIC Junior Team itu, banyak lagi yang perlu dipelajarinya selepas ini dalam usahanya untuk kembali beraksi di pentas Kejohanan Motosikal Dunia.
"Pandemik Covid-19 banyak mengajar saya untuk mendisiplinkan diri dan lebih fokus di setiap perlumbaan.
"Sudah pasti banyak lagi yang perlu saya perbaiki jika mahu mendapatkan keputusan lebih baik.
"Saya tahu bahawa saya mempunyai potensi untuk meraih keputusan lebih baik. Jadi saya perlu percaya bahawa tiada yang mustahil dan meletakkan sasaran lebih tinggi pada tahun depan," katanya.
Adam bagaimanapun masih belum dapat mengesahkan perjalanan kariernya pada musim depan tetapi berjanji untuk mempamerkan aksi lebih baik sekiranya terus diberi peluang berlumba di Kejuaraan CEV Repsol.
Bekas pelumba Moto3 di Kejohanan Motosikal Dunia itu meraih 79 mata daripada lapan pusingan dalam kalendar musim lalu untuk menamatkan kempen dengan menduduki tempat ketujuh.
Penamat ketujuh itu tidak dapat memenuhi sasarannya yang mahu menamatkan saingan di kedudukan lima terbaik.
Adam bagaimanapun berkata, dengan situasi yang tidak menentu musim lalu termasuk dirinya mengalami masalah di bahagian tangan, pencapaian itu sudah cukup memberi kelegaan kepada dirinya.